1- Memperbanyakkan berpuasa sunat pada bulan Syaaban kerana Nabi Muhammad SAW paling banyak berpuasa sunat pada bulan ini melebihi bulan-bulan yang lain.
2- Walaupun malam pertengahan bulan Syaaban terdapat beberapa kelebihan berdasarkan hadis-hadis yang lemah tetapi ia boleh diterima bagi menyatakan “Kelebihan Amalan”.
3- Tiada amalan khusus yang diberi nama sebagai “Puasa Nisfu Syaaban” tetapi digalakkan berpuasa sunat pada pertengahan bulan Syaaban berdasarkan hadis-hadis lain yang menggalakkan berpuasa pada 13, 14 dan 15hb setiap bulan.
4- Begitu juga tiada amalan khusus yang diberi nama “Solat Malam Nisfu Syaaban” tetapi digalakkan untuk menunaikan solat-solat sunat seperti Solat Sunat Mutlak, Solat Tasbih, Solat Hajat, Solat Tahajud dan Solat Taubat. Begitu juga dengan amalan-amalan lain seperti membaca Al-Quran, berzikir dan berdoa tanpa dikhususkan untuk malam itu.
5- Oleh kerana kelebihan malam pertengahan bulan Syaaban ini tidak didasarkan pada sumber hadis yang sahih, kuat dan jelas, maka amalan Nabi untuk bangun beribadat bukanlah khusus untuk malam itu sahaja kerana baginda memang diwajibkan bangun beribadat pada setiap malam.
6- Dari segi syarak, tidak harus mengkhususkan hari tertentu untuk berpuasa, atau malam tertentu untuk bangun beribadat (qiamullail) tanpa sumber yang syarie. Perkara ini bukan hak sesiapapun melainkan ia hanya hak Allah SWT sahaja. Mengkhususkan waktu atau tempat untuk beribadat dan menetapkan kaedah dan caranya, hanyalah hak Allah SWT, bukan hak manusia.
Showing posts with label LUJNAH PENERBITAN DAN PUBLISITI. Show all posts
Showing posts with label LUJNAH PENERBITAN DAN PUBLISITI. Show all posts
Sunday, 3 July 2011
Monday, 20 June 2011
MAAF...
Maaf
Ungkapan itu mungkin terlalu berat untuk diluahkan. Tak tahulah ego tahap mana yang meraja dalam diri. Susah sangatkah mahu dibebaskan dari sangkar hatimu itu? Tepuk dada, tanya iman. Biarkan hati diketuk. Dengan akal sekali lagi. Moga jernih air yang keruh.
Jangan memilih siapa dia. Perlukah dimaafkan atau tidak. Kita berukhuwah tanpa mengenal rupa bukan? Janganlah kerana dia bukan sahabat karibmu, ada hak dalam berukhuwah yang tak tertunai. Ada juga yang akrab bukan main, tapi oleh kerana satu kesilapan yang dia lakukan, kita menjauhkan diri.
Cermin diri. Muhasabah. Sempurnakah kita? Tidak. Begitu juga sahabatmu itu. Daripada mengenang kesilapannya yang cuma satu atau dua, apa kata kita hargai kebaikan dia yang lebih dari itu? Barulah terasa kemanisannya. InsyaAllah.
Ya, memberi dan memohon maaf itu salah satu hak dalam bersaudara. Macam mana nak rasa kemanisan iman kalau urusan semudah itu pun tak selesai? Excuse me. Semudah itu katamu?
Memang semudah itu kalau yang bertakhta di hati itu iman. Kalau ego yang menguasai, memanglah payah. Sekali lagi, ketuklah pintu hati dan tanya padanya siapa pemilik takhta tertingginya. Itu belum lagi sampai pada soalan yang lebih mencabar. Di mana DIA di hatimu?
Bukankah memaafkan itu bermakna kita berlapang dada dengan apa yang terjadi dalam sesebuah ukhuwah. Benarlah, berlapang dada itu yang paling asas sebenarnya dalam tingkatan ukhuwah. Kalau yang asas pun rapuh, bagaimana binaan ukhuwah tersebut mampu kukuh?
Mengalah Bukan Bererti Kalah
Tapi benar. Andai dia tidak mahu memaafkan, kamulah yang perlu mengambil langkah pertama. Ungkapkan kata keramat itu pada dia walaupun hatimu yang terluka. Leburkan egomu sendiri sebelum meleburkan ego yang lain! InsyaAllah sedikit sebanyak luka itu akan sembuh perlahan-lahan.
What you give, you get back. Itulah konsepnya. Moga-moga dengan sikapmu yang berhati mulia itu bisa melembutkan hatinya untuk meminta maaf kembali. Siapa tahu? Api tak mungkin dipadamkan dengan api bukan? Maka jadilah air.
Maafkan Dia Kerana Tidak Meminta Maaf Padamu
Dia masih berkeras hati? Penantian itu satu penyiksaan bukan? Maka janganlah ditunggu. Kelak memakan diri kerana terlalu lama menunggu. Biarkan dia. Lepaskan dan bebaskan perasaan resah yang membelenggu jiwamu. Biarkan ia terbang. Jangan ditunggu kepulangannya. Serahkan bulat-bulat pada DIA!
Maafkan dirimu. Dan maafkan dia kerana tidak melakukan apa yang kamu hajatkan. Itulah maaf yang sebenar-benarnya. Manusia kan makhluk Allah yang sangat kompleks? Kita bukan Tuhan yang mampu membolak-balikkan hati mereka. Bahkan hati sendiri pun belum tentu!
Sibukkan diri dengan perkara lain. Jangan terlalu memberatkan fikiran dengan sesuatu yang tidak pasti. Utamakan yang lebih utama. Allah kurniakan pada manusia kemampuan dan pengetahuan yang sangat-sangat terbatas. Kamu tahu kenapa? Hikmahnya apa? Renung-renungkan. Fikir-fikirkan.
Maaf Itu Membahagiakan
Kalau kamu benar-benar memaafkan, nescaya berbahagialah kamu. Kelak bila ungkapan yang sama datang daripada dia, bahagia itu tiada taranya! Berkali-kali ganda! Dan saat itu, katakan terima kasih padanya, kerana menjadikan kamu orang yang paling bahagia pada waktu itu. Alhamdulillah.
Sabda baginda Nabi
Rasulullah s.a.w bersabda yang maksudnya: Sesiapa yang ada sebarang kesalahan dengan saudaranya maka hendaklah diselesaikan sekarang, kerana sesungguhnya di sana (di akhirat) tiada lagi wang ringgit untuk dibuat bayaran, (yang ada hanyalah) diambil hasanah (kebaikan) yang ada padanya, kalau dia tidak mempunyai kebaikan, diambil keburukan orang itu lalu diletakkan ke atasnya.
Ambil masa beberapa minit dan muhasabah. Bermula daripada ibu, ayah, ahli keluarga, rakan-rakan, guru-guru, adik-adik, kakak-kakak, abang-abang, dan sesiapa sahaja yang pernah hadir dalam hidup kita walau sekejap cuma. Yang di depan mahupun di belakang tempat duduk semasa sekolah dahulu. Yang dekat mahupun jauh terpisah beribu batu. Yang sama-sama berjuang dengan penat lelah dan jerih payah mahupun yang pernah mencaci dan menghina perjuangan itu.
Mereka tetap manusia seperti kita. Jangan memilih. Ungkapkan kata keramat itu pada mereka seikhlas hatimu. Walaupun pada mereka yang telah selalu diucapkan. Apatah lagi pada mereka yang pernah kamu lukakan hatinya sehingga menyebabkan ukhuwah itu retak. Juga pada mereka yang telah banyak mencurahkan kebaikan padamu. Kerana ungkapan maaf dan terima kasih yang lahir dari hati itu akan membahagiakan saudaramu.
Abu Burdah r.a berkata: Rasulullah mengutus ayahku iaitu Abu Musa dan Muaz ke Yaman, Nabi berkata: Mudahkanlah dan janganlah kamu menyukarkan, gembirakanlah dan jangan kamu menyusahkan dan berseia sekatalah kamu. (Riwayat Bukhari dan Muslim)
Monday, 9 May 2011
Istimewanya Seorang Muslim
"Hujan pagi hari, rintik-rintiknya halus dan jernih sejak kelmarin. Namun malang, sejuknya tidak sampai ke petang. Betapa pun, syukur Alhamdulillah. Itulah rahmat Tuhan.
Terkadang, ingin rasanya hati ini turut disirami hujan. Biar dingin. Biar nyaman. Moga subur tanah hati dengan baik. Kadang kala, hati harus akur. Tidak selamanya hujan akan mencurah. Tetap ada kemaraunya. Hari ini hujan pagi. Esok, mungkinkah kemarau?" Getus hati Abdullah Soleh sebelum matanya tertutup.
Keesokannya, Abdullah Soleh dengan semangatnya mengharungi hari terakhir sebuah program kem motivasi untuk pelajar-pelajar institut pendidikan tinggi di tempat mereka.
Slot terakhir motivasi bagi program tersebut bertajuk "Istimewanya Diri Kita".
"Baik, siapa boleh beritahu kita di sini keistimewaan dirinya?" Satu soalan dilontarkan kepada mahasiswa dan mahasiswi oleh motivator tersebut.
"Saya nak jawab!" Sambut seorang mahasiswa yang bergaya dengan nada yakin.
" Assalamualaikum semua. Di sini saya nak beritahu apa keistimewaan saya, istimewanya saya ialah saya berkeyakinan tinggi, saya bijak berpidato, dan saya yakin bahawa saya mampu menjadi pemimpin negara suatu hari nanti." Kata mahasiswa tersebut dengan penuh keyakinan.
Siswa dan siswi lain juga memberi maklum balas terhadap soalan tadi. Ada yang beritahu keistimewaannya ialah menyanyi, bermain bola, pandai bergurau dan macam-macam lagi.
Hampir semua siswa dan siswi memberi maklum balas terhadap soalan tadi. Lalu, Abdullah Soleh bangkit berdiri untuk turut sama memberitahu keistimewaan sendiri.
"Saya mahu beritahu keistimewaan saya! Keistimewaan saya ialah saya seorang Muslim, mengapa saya berkata begitu? Biar saya jelaskan. Dengarlah sahabat-sahabatku terutamanya yang beragama Islam. Sedarlah! Diri kita tiada ertinya jika Islam bukan agama yang dianuti, tiada ertinya jika kita bukan seorang Muslim.
Sedarlah! Betapa istimewanya kita dapat merasai nikmat Iman dan Islam, betapa istimewanya kita dalam berbillion kalangan umat manusia di dunia ini kita yang terpilih merasai nikmat Iman dan Islam, tanpa nikmat Iman dan Islam mungkin kita boleh berjaya di dunia dengan kelebihan-kelebihan yang Allah anugerahkan, akan tetapi di akhirat sana kita pasti akan kecewa serta merana.
Sedarlah! Seorang Muslim itu sangat istimewa, kerana apa? Kerana kita mempunyai Allah Yang Maha Kuasa. Waktu kita susah dan senang Dia sentiasa ada, malah ketika kita sakit, Dia menghapuskan dosa-dosa kecil kita serta ditambah lagi dengan ganjaran pahala jika kita bersabar menghadapi ujian dari-Nya.
Jika kita lihat, ujian yang hadir itu bukan untuk menghukum kita tetapi memberi peringatan kepada kita yang lalai. Umpama seorang ibu menegur anaknya dengan penuh kasih sayang agar anaknya sentiasa di jalan yang benar. Begitulah perumpamaannya.
Namun kasih sayang Allah lebih lagi daripada kasih sayang seorang ibu atau bapa kepada anaknya. Tidakkah anda semua berasa istimewa dengan nikmat Iman dan Islam ini? Bukankah ini suatu keistimewaan yang terulung kepada diri anda? Maha Suci Allah yang menciptakan segala apa yang ada di langit dan di bumi! Apa pun musibah yang menimpa seorang Mukmin, selalu menguntungkan dirinya, sebagaimana sabda Rasulullah S.A.W. dalam sebuah hadis:
"Amat menakjubkan sikap seorang Mukmin yang sentiasa memandang baik terhadap segala sesuatu di sekelilingnya. Sikap ini sebenarnya tidak pernah wujud pada umat lain kecuali kepada golongan Mukmin. Jika dia mendapat kebaikan, dia bersyukur, jika dia ditimpa keburukan, maka dia pun bersabar menghadapinya dan ini pun baik baginya." (Riwayat Muslim)
Seorang Mukmin apabila ditimpa kesusahan, dan dia mengingati Allah, dengan jalan itulah dia akan memperoleh jalan penyelesaian yang terbaik. Dia tidak merasa tekanan batin dalam bentuk apapun, kerana penderitaan yang paling berat sekalipun, pasti ada jalan penyelesaiannya dan pertolongan dari-Nya. Rasulullah S.A.W. pun bersabda: "Ingat akan Allah adalah penawar kalbu," Diriwayatkan oleh ad-Dailami oleh Anas.
Maka wahai jiwa yang sedang gundah berduka lara, dengarkan firman Allah S.W.T:
"Boleh jadi kalian membenci sesuatu, padahal ia amat baik bagi kalian. Dan boleh jadi kalian mencintai sesuatu, padahal ia amat buruk bagi kalian. Allah Maha Mengetahui kalian tidak mengetahui." (QS. Al-Baqarah: 216)
Maka setelah ini wahai jiwa pemuda, jangan biarkan kita hanyut dalam ilusi yang berpanjangan terhadap apa-apa yang terlepas dari genggamanmu, dari dakapanmu. Kita lihat di sekeliling kita, kemudian cerminlah diri sendiri. Andai kita tidak kenal siapa yang ada di dalam cermin itu, mulai hari ini ada baiknya kita mulakan mencari diri sendiri!
Manusia yang mulia adalah yang menyedari dengan sepenuh hati bahawa dia hanyalah seorang hamba, dalam pengertian hamba yang sebenar- benarnya, baik secara teori mahupun praktikal. Dia hanya berfikir bagaimana memberikan yang terbaik bagi kehidupan ini, semata-mata mengharap cinta-Nya, keredhaan-Nya, dan lebih dari itu kerana dia mencintai Allah, terpesona kepada keindahan Maha Pencipta, mabuk kepayang dengan 'kecantikan' Maha Pemurah.
Andai ternyata keinginannya tidak selari dengan keinginan Allah S.W.T., ternyata apa yang diharapkannya esok hari tidak menjadi nyata, malah yang terjadi adalah sesuatu yang sebaliknya, maka kita mesti tetap ikhlas dan berbanggalah kita seorang Muslim! Takbir!
"Allahuakbar!"sambut rakan siswa dan siswa yang lain.
Ingatlah sahabat sekalian.
Islam tidak pernah mengecewakan kita tetapi kita yang selalu mengecewakan Islam, kita yang membiarkan Islam terus layu. Kita tidak bangga dengan nikmat Iman dan Islam yang kita miliki. Kita lebih berbangga dengan hiasan-hiasan dunia yang tidak kekal lama. Peringatan ini juga buat diri saya yang kerdil dan hina ini. Sekian terima kasih."
Tepukan gemuruh mula memecah suasana di dalam dewan kem tersebut.
Hebatnya jiwa pemuda, hebatnya jiwa pemuda Islam. Allahuakbar!!
Sunday, 1 May 2011
KEMBALI PADA FITRAH
Dan dalam erti sebagaimana yang terkandung dalam ayat yang bermaksud: "Maka hadapkanlah wajahmu dengan lurus kepada ugama Allah (tetaplah atas) fitrah Allah yang telah menciptakan manusia menurut fitrah itu. Tidak ada perubahan pada fitrah Allah (itulah) agama yang lurus; tetapi kebanyakan manusia tidak mengetahui" (Surah ar-Rum: Ayat 30).
Erti Kembali Kepada Fitrah
Kembali kepada akidah yang betul dan benar dalam Ahlis-Sunnah wal-Jamaah yang datang dari Nabi s.a.w. Kembali kepada mengabdikan diri kepada Allah dalam seluruh kegiatan hidup sebagaimana yang terkandung dalam iftitah dalam sembahyang: "Sesungguhnya sembahyangku, pengorbananku, hidupku dan matiku adalah bagi Allah Tuhan Yang Mentadbir sekelian alam".
Kembali kepada kehidupan menjaga suruhan-suruhanNya dan menjauhi larangan-laranganNya yang semuanya berupa batasan-batasan sesuai dengan fitrah kejadian asal dirinya.Kembali kepada sifat-sifat manusia yang bersih sesuai dengan fitrah asal bagi dirinya. Dengan kembali kepada sifat-sifat yang sesuai dengan fitrah itu maka manusia mencapai keselamatan hidupnya, kejayaan sebenarnya, kebahagiaan dan kepuasan serta makna hidupnya.
Yang berlawanan dengan itu adalah kebalikan daripada semuanya itu: kecelakaan, kegagagalan hakiki, penderitaan, rasa tidak puas, ketiadaan makna hidupnya.
Sifat-sifat Kembali Kepada Fitrah
Kembali kepada sifat-sifat yang ditunjukkan oleh Rasulullah s.a.w. kerana suruhan Allah bermaksud "Sesungguhnya bagi kamu ada contoh yang sebaiknya pada Rasulullah ..." (Surah al-Ahzab: Ayat 21).
Iaitu mengenali dan menghayati sifat sidik - ertinya benar dalam niat, azam, perbuatan, janji, matlamat. Iaitu mengenali sifat amanah dalam semua perkara dan tidak melakukan pengkhianatan dalam semua perkara. (Dalam usuluddin amanah merujuk kepada sifat tidak melakukan dosa; dalam akhlak merujuk kepada sifat menjaga amanah dalam segala perkara: berhubungan dengan Tuhan, diri sendiri, orang lain, pekerjaan, tugas-tugas.)
Amanah perlu dikenali kedudukannya sebagai sifat yang mentakrifkan manusia sebagaimana yang ditunjukkan oleh ayat 72 Surah al-Ahzab yang bermaksud: "Sesungguhnya Kami bentangkan AMANAH kepada langit dan bumi dan bukit bukau, tetapi semuanya tidak mahu memikulnmya kerana takut kepadanya, walhal manusia memikulnya; ia zalim lagi jahil (bila ia mengkhianati amanah dalam hidupnya);
Bila amanah dilihat sebagai sifat yang mentakrifkan manusia maka pengkhianatannya merupakan sesuatu yang menjatuhkan darjah kemanusiaannya;
Dalam tafsir-tafsir "amanah" itu metrujuk kepada kewajipan-kewajipan dalam agama; seperti rukun Iman dan rukun Islam; kewajipan-kewajipan dalam akhlak dan muamalah; pergaulan; pekerjaan; Tabligh atau sifat menyampaikan maklumat yang betul dan benar serta berfaedah - ini perlu dilakukan dalam hubungan dengan diri sendiri, keluarga, jiran, termasuk rakan sejawat dan seterusnya. Tabligh boleh menjangkau persoalan dalam zaman teknologi maklumat. Ertinya maklumat hendaklah disampaikan kepada sasarannya, baik yang bersifat keagamaan atau yang bersifat bukan keagamaan.
Sifat fatanah atau kebijaksanaan dalam erti sifat memahami persoalan-persoalan yang dihadapi dalam hendak mempertahankan kebenaran agama sehingga kebenarannya boleh dipertahankan dengan berkesan, sampai kepada perkara-perkara lain yang menjadi kewajipan manusia memahami dan menghayatinya.
Ertinya manusia Muslim mesti mempunyai "fatanah" dalam hubungan dengan ajaran untuk menjayakan kedudukannya sebagai "khalifah Tuhan di bumi dan hambaNya" dalam semua urusan hidupnya, termasuk ibadatnya, akhlaknya, etika kerjanya, tadbirannya, pengurusannya, demikian seterusnya.
فَأَقِمْ وَجْهَكَ لِلدِّينِ حَنِيفًا فِطْرَةَ اللَّهِ الَّتِي فَطَرَ النَّاسَ عَلَيْهَا لَا تَبْدِيلَ لِخَلْقِ اللَّهِ ذَلِكَ الدِّينُ الْقَيِّمُ وَلَكِنَّ أَكْثَرَ النَّاسِ لَا يَعْلَمُونَ
Maka hadapkanlah wajahmu dengan lurus kepada agama (Allah); (tetaplah atas) fitrah Allah yang telah menciptakan manusia menurut fitrah itu. Tidak ada perubahan pada fitrah Allah. (Itulah) agama yang lurus; tetapi kebanyakan manusia tidak mengetahui,
(Surah Ar-Rum 30 : Ayat ke 30)
Maka hadapkanlah wajahmu dengan lurus kepada agama (Allah); (tetaplah atas) fitrah Allah yang telah menciptakan manusia menurut fitrah itu. Tidak ada perubahan pada fitrah Allah. (Itulah) agama yang lurus; tetapi kebanyakan manusia tidak mengetahui,
(Surah Ar-Rum 30 : Ayat ke 30)
Friday, 15 April 2011
AWAS!!!! MATI ITU SENTIASA MENGHAMPIRI...
Rasulullah s.a.w bersabda yang bermaksud: "Orang pintar ialah sesiapa yang memuliakan dirinya serta membuat persediaan untuk kehidupan selepas mati, sementara orang bodoh ialah sesiapa yang membiarkan dirinya mengikut hawa nafsu serta mengharapkan cita-citanya dikabulkan oleh Allah."(Riwayat At-Tirmidzi)
Huraian Hadith:
1. Kita wajib menghormati sesama manusia termasuk diri sendiri, ibu, bapa, isteri atau suami, anak-anak, saudara mara, sahabat serta jiran tetangga sama ada dengan berbuat baik, menjaga tutur kata (berbudi bahasa) dan baik hati atau berbaik sangka menurut kemampuan masing-masing.
2. Kematian pasti dihadapi oleh setiap orang sebagaimana firman Allah yang bermaksud:"Setiap yang bernyawa pasti akan mati." (Al-Anbia': 34). Oleh itu petanda bagi orang yang sentiasa mengingati mati ia sentiasa memperbanyakkan amal perbuatan yang baik sepanjang hidupnya.
3. Sebaik-baik usaha ialah bermujahadah melawan nafsu dan berusaha memperbaiki diri. Pengekangan nafsu akan menundukkan nafsu agar kita dapat mengawal tingkah laku mengikut syariat dan ketetapan Islam.
4. Setiap amalan yang baik akan mempengaruhi doa yang dipohon atau dengan perkataan lain Allah S.W.T tidak akan mensia-siakan doa orang yang beriman dan selalu melakukan kebajikan. Begitulah hal yang sebaliknya.
Larangan Meminta-minta Mati
Rasulullah s.a.w bersabda yang maksudnya: " Jangan sesekali seseorang daripada kamu bercita-cita hendak mati kerana sesuatu bencana yang menimpanya; kalau keadaan mendesaknya meminta mati, maka hendaklah ia memohon dengan berkata : Ya Tuhanku, hidupkanlah daku selagi hidup itu lebih baik bagiku, dan matikanlah daku apabila mati itu lebih baik bagiku." (Riwayat Bukhari dan Muslim)
i) Seorang mukmin dilarang keras meminta mati kerana bosan dan tidak tahan menanggung sesuatu bencana yang menimpanya; sebaliknya dia mestilah mensifatkan bala bencana yang menimpanya itu sebagai ujian dan menerimanya dengan redha.
ii) Sesungguhnya segala dugaan itu adalah kaffarah (penghapus) dosa dan kesalahan orang yang ditimpa bencana tersebut . Oleh itu Allah menyeru kita agar menghadapinya dengan sabar dan akan ditulis pahala amal baik sebagai ganjarannya.
iii) Allah S.W.T adalah bersifat dengan Maha Pengasih dan Penyayang, Dia tidak akan membiarkan hamba-Nya berada di dalam kesusahan selagi hamba-Nya itu ingat dan berserah diri serta bertawakkal kepada-Nya dalam segala keadaan.
كَيۡفَ تَكۡفُرُونَ بِٱللَّهِ وَڪُنتُمۡ أَمۡوَٲتً۬ا فَأَحۡيَـٰڪُمۡۖ ثُمَّ يُمِيتُكُمۡ ثُمَّ يُحۡيِيكُمۡ ثُمَّ إِلَيۡهِ تُرۡجَعُونَ
"Bagaimana kamu tergamak kufur (mengingkari) Allah padahal kamu dahulunya mati (belum lahir), kemudian Dia menghidupkan kamu; setelah itu Dia mematikan kamu, kemudian Dia menghidupkan kamu pula (pada hari akhirat kelak); akhirnya kamu dikembalikan kepadaNya (untuk diberi balasan bagi segala yang kamu kerjakan)"
(Surah Al-Baqarah 2: Ayat ke 28)
"Bagaimana kamu tergamak kufur (mengingkari) Allah padahal kamu dahulunya mati (belum lahir), kemudian Dia menghidupkan kamu; setelah itu Dia mematikan kamu, kemudian Dia menghidupkan kamu pula (pada hari akhirat kelak); akhirnya kamu dikembalikan kepadaNya (untuk diberi balasan bagi segala yang kamu kerjakan)"
(Surah Al-Baqarah 2: Ayat ke 28)
Subscribe to:
Posts (Atom)
