Sunday 3 July 2011

SEKITAR SYAABAN

1- Memperbanyakkan berpuasa sunat pada bulan Syaaban kerana Nabi Muhammad SAW paling banyak berpuasa sunat pada bulan ini melebihi bulan-bulan yang lain.

2- Walaupun malam pertengahan bulan Syaaban terdapat beberapa kelebihan berdasarkan hadis-hadis yang lemah tetapi ia boleh diterima bagi menyatakan “Kelebihan Amalan”.

3- Tiada amalan khusus yang diberi nama sebagai “Puasa Nisfu Syaaban” tetapi digalakkan berpuasa sunat pada pertengahan bulan Syaaban berdasarkan hadis-hadis lain yang menggalakkan berpuasa pada 13, 14 dan 15hb setiap bulan.

4- Begitu juga tiada amalan khusus yang diberi nama “Solat Malam Nisfu Syaaban” tetapi digalakkan untuk menunaikan solat-solat sunat seperti Solat Sunat Mutlak, Solat Tasbih, Solat Hajat, Solat Tahajud dan Solat Taubat. Begitu juga dengan amalan-amalan lain seperti membaca Al-Quran, berzikir dan berdoa tanpa dikhususkan untuk malam itu.

5- Oleh kerana kelebihan malam pertengahan bulan Syaaban ini tidak didasarkan pada sumber hadis yang sahih, kuat dan jelas, maka amalan Nabi untuk bangun beribadat bukanlah khusus untuk malam itu sahaja kerana baginda memang diwajibkan bangun beribadat pada setiap malam.

6- Dari segi syarak, tidak harus mengkhususkan hari tertentu untuk berpuasa, atau malam tertentu untuk bangun beribadat (qiamullail) tanpa sumber yang syarie. Perkara ini bukan hak sesiapapun melainkan ia hanya hak Allah SWT sahaja. Mengkhususkan waktu atau tempat untuk beribadat dan menetapkan kaedah dan caranya, hanyalah hak Allah SWT, bukan hak manusia.